Justeru Allah tunjukkan kekuatan sebenar nabi Adam عليه السلام kepada para malaikatNya melalui penggunaan akal yang disiapkan untuk menuju ke alam atas, alam malakut dan kesucian melalui kecintaan dan kedambaan kepada ilmu dan makrifat. Akhirnya para malaikat sedar dan akur dengan kelebihan kurniaan Allah kepada nabi Adam.
Manusia bukan malaikat kerana kekangan nafsu yang menariknya ke alam tanah dan haiwan. Manusia juga bukan seperti haiwan kerana ruh dan akalnya sentiasa melonjakkannya untuk menikmati kemuliaan dan kemanisan makrifat alam atas yang lebih indah.
Berlaku pertarungan di dalam tubuh manusia, sesuatu yang tidak berlaku ke atas para malaikat dan juga haiwan. Saatnya, manusia menemui kenikmatan, kemanisan dan kemuliaan hidup dengan ruh sehingga mencetuskan segolongan yang menindas jasad dan menyiksanya dengan melaparkan diri, memenjarakannya daripada nikmat jasadiah dan melarikan diri ke hutan demi mencapai tahap kemalaikatan. Lahir dunia kependetaan yang terputus daripada kehidupan duniawi.
Dari sudut yang berlawanan pula, bahkan lebih mendominasi, manusia menjunam ke bawah, berkubang di longkang nafsu kehaiwanan dan kesyahwatan melampau sehingga melintasi garis kebinatangan. Mereka saling berbunuhan sesama sendiri, menindas yang lemah dan melakukan kerosakan di bumi melalui variasi pelbagai cetusan nafsu serakah kebinatangan yang tidak terkawal lagi.
Di sinilah pertolongan Allah datang melalui perutusan al rasul yang memperkenalkan kaedah pemulihan diri yang paling hebat yang menepati kehendak dan kelayakan manusia sebagai seorang makhluk bergelar khalifahNya yang unik.
Ia adalah ibadah puasa. Ia kemudiannya tambah memuncak dengan pensyariatan kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia.
Lapar adalah senjata mendidik nafsu agar beriringan dengan ruh untuk memakmurkan kehidupan. Manusia, setinggi mana keupayaannya melonjak ke atas, dia tidak boleh menjadi malaikat kerana tugasnya adalah berbeza. Manusia adalah khalifah Allah yang memikul amanah besar di muka bumi. Manusia mesti membumi.
Manusia juga tidak boleh berpusing di daerah bumi dan kehaiwanan sehingga lupa peranannya beribadah kepada Allah dan menyertai gerombolan kemuliaan dan kesuciaan makhluk Allah di alam malakut.
Melalui ibadah puasa yang terpimpin oleh disiplin ugama yang khas, manusia akhirnya menemui kebahagiaan sebenar yang dicari-cari dalam kehidupannya.
Selamat menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini.
0 comments:
Post a Comment