Minggu lalu sahaja sekitar 800 orang rakyat
Syria telah terkorban menjadikan angka korban rakyat negara itu kini telah
mencecah lebih 14000 orang. Peristiwa hitam yang
telah berlangsung selama 16 bulan itu sehingga kini menyaksikan pembantaian
berterusan regim Bashar al-Asaad
terhadap rakyatnya sendiri. Bermacam-macam usaha telah dilakukan oleh pelbagai
pihak untuk mengakhirkan krisis yang sedang berlangsung itu, namun ia tidak
berlaku sebagaimana yang dirancangkan dan ada diantaranya ibarat hangat-hangat
tahi ayam.
Hasrat rakyat Syria adalah supaya
kesengsaraan mereka dapat ditamatkan sama ada dengan penyelesaian secara
rundingan atau kemenangan segera tentera
pembebasan rakyat Syria.
Setelah 6 Perkara Pelan Keamanan Majlis
Keselamatan PBB gagal dilaksanakan, terkini, persidangan di Geneva (30 Jun – 1
Julai), ‘Confrence of Islamic
Ummah Supporting Syrian People’ di Istanbul (2 – 3 Julai)
dan mesyuarat ‘Friends for Syria’ di Paris (7 Julai) secara
umumnya telah menyatakan sokongan penuh terhadap
aspirasi rakyat Syria dan mengecam tindakan kejam Bashar al-Asaad terhadap
rakyatnya serta mahu ia dihentikan segera. Pelbagai pihak lain juga
sedang rancak mengusahakan bantuan kemanusiaan.
Pelbagai spekulasi khususnya berkenaan hubungan
regim Bashar al-Asaad dengan Israel dan
AS, sebab sokongan Russia terhadap regim tersebut, rasional pendirian Iran dan
kemungkinan campur tangan kuasa luar serta kesannya, telah menyebabkan tidak
sedikit rakyat Syria sendiri dan umat Islam lainnya masih berkonflik untuk
membuat suatu pendirian yang jelas dan tegas terhadap kemelut ini.
Hal ini dinilai oleh pemerhati terhadap
sebilangan rakyat negara itu yang semacam berada di persimpangan sama ada untuk menyatakan
kesetiaan kepada regim Bashar al-Asaad atau menyokong perjuangan rakyat dek kerana bimbang memikirkan kesan
kejatuhan Bashar Al-Asaad akibat
kebangkitan yang berlaku dan di sisi yang lain, wujud rasa tragis mengenang
kekejaman yang dilakukan oleh regim
Bashar al-Asaad.
Spekulasi-spekulasi itu juga telah mengundang pelbagai
andaian terhadap apa yang akan
berlaku di Syria, antaranya, barat akan menyerang Syria dengan bantuan
negara-negara Arab dan Turki, atau kerajaan Syria berjaya mengawal keadaan dan
menamatkan kebangkitan rakyat, atau akan berlaku perang saudara yang tidak
dapat diramalkan masa depannya.
Apa juga hal sebenarnya tentang spekulasi
tersebut, Ikatan Mahasiswa Dinamis berpendirian
bahawa sesebuah kerajaan tiada hak untuk mencabuli keamanan negara dan rakyatnya
apatah lagi melakukan seperti apa yang telah berlaku di Syria, dan mengecam
sebarang campur tangan kuasa luar terhadap isu dalaman Syria. Oleh itu, Ikatan
Mahasiswa Dinamis menyeru semua pihak, terutamanya golongan muda,
mahasiswa-mahasiswa untuk turut
membantah dan terus memberi tekanan supaya regim Bashar al-Asaad segera
menamatkan pembunuhan terhadap rakyatnya, serta bersama-sama mengusahakan dan
menyokong misi bantuan material dan spiritual untuk rakyat Syria. Syria
perlukan kita! Moga doa kita dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T. Tuhan semesta alam.
0 comments:
Post a Comment