News Update :

Berita Kampus

Aktiviti

Tazkirah

Artikel

Video

Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Adakah Kita Masih Kedekut?

Monday, November 5, 2012

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Semoga dalam keadaan sihat selalu. Sedikit perkongsian pada kali ini iaitu mengenai orang bakhil. Abu Bakar al-Siddiq R.A memberi nasihat: "Orang yang bakhil atau kikir tidak akan terlepas daripada salah satu daripada tujuh perkara:


  1. Ketika dia mati, hartanya akan diwarisi oleh orang yang akan menghabiskannya kepada sesuatu yang tidak berfaedah.
  2. Allah akan membangkitkan pemimpin yang zalim yang akan merenggut seluruh hartanya setelah menyeksanya terlebih dahulu.
  3. Allah menggerakkan dirinya untuk menghabiskan seluruh hartanya.
  4. Muncul idea pada dirinya untuk mendirikan bangunan di kawasan bencana sehingga suatu ketika bangunan itu akan runtuh habis.
  5. Dia ditimpa musibah yang memusnahkan hartanya seperti banjjir, terbakar, kecurian, dan sebagainya.
  6. Dia ditimpa penyakit kronik sehingga habis hartanya dibelanja untuk mengubati penyakitnya.
  7. Dia terlupa di mana hartanya disembunyikan.


Kesimpulannya marilah kita sama-sama bermuhasabah diri kita. Adakah kita ini masih lagi seorang yang bakhil? Antara contoh akhlak yang boleh kita ikuti iaitu Abdul Rahman bin Auf. Beliau telah bersedekah setengah daripada hartanya yang berjumlah 4 ribu dirham kemudian beliau mengorbankan 40 ribu dirham , 500 kuda ddi jalan Allah S.W.T, dikuti pula 1500 ekor unta di Allah S.W.T. Kesemua itu adalah hasil daripada perniagaannya. Akhir kata marilah kita sama-sama memikirkan firman Allah iaitu"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya"(Surah Ali Imran, 92).

sumber: http://iqraqyashabab.blogspot.com/

Siapakah Pemimpin?

Saturday, July 21, 2012




PEMIMPIN satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan tepuk sorak. Siapalah tidak ghairah pasang angan-angan menjadi pemimpin, hingga ada yang berkata: "Asyik dia orang saja dapat, bila lagi giliran aku pula."

Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar pemimpin betul-betul 'menjadi' dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di akhirat nanti.
Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu 'imun', 'aman' dan 'amin.'
Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala 'amin' pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah .
Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.
Makna kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.
Syarat ketiga ialah 'selfleadership.' Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?
Perkataan 'leader' merujuk kepada tanggungjawab (al-mas'uliyah). Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin."
Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti.
Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.
Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan 'The Power Of Communication.' Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit.
Cara berkomunikasi ada empat:
1) Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.
2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.
3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam tidak masuk di hati.
4) The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.
Rasanya elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddassir.
i- Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.
ii-Mesti membasarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.
iii- Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.
iv- Tinggalkan dosa.
v- Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.

Exam Fever

Saturday, March 10, 2012

Selamat menduduki peperiksaan kepada pelajar UiTM Kedah. Semoga peperiksaan ini menjadi satu medan peperangan yang dapat memberi manfaat kepada kita. Mulakanlah perjuangan anda dengan dengan Allah, semoga mendapat keberkatan dalam peperangan nanti.

Andai Kamu Ingin Memberi Cinta.

Sunday, December 11, 2011


CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata tetapi sukar dimengerti. Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan pelbagai makna dan perasaan buat seseorang. Ada getaran di suara apabila menyebutnya, ada gambaran indah di layar minda apabila mengingatinya dan ada perasaan berbunga di hati tatkala menghayatinya.

Cinta boleh menjadi istilah yang paling disukai. Atau paling dibenci, bergantung kepada saat bahagia atau deritanya seseorang dengan cinta. Namun ia juga sering disalah anggap kerana cinta biasanya dikaitkan dengan cinta lelaki dan perempuan yang mengasyikkan. Dalam ertikata lain, cinta di alam remaja yang disebut sebagai 'cintan-cintun'.

Tetapi, apabila ruang lingkup cinta itu diperluaskan, kita akan dapati cinta itu mencakupi cinta anak kepada ibubapanya, kepada isteri atau suami, kepada sahabat, alam, kampung, negeri, negara dan yang paling mutlak dan hak ialah cinta kepada al-Khaliq iaitu ALLAH SWT.

Dalam pada itu, oleh kerana mudahnya istilah cinta ini disebut-sebut, ia seolah-olah sesuatu yang begitu mudah dicurahkan. Bahkan, adakalanya ia menjadi begitu murah. Kerana apa? Kerana pada pelbagai ketika dan keadaan, kita sebenarnya tidak menyintai apa atau siapa yang kita cinta. Ia berlaku apabila kita tidak mengerti perasaan kita sendiri akibat tidak menyelami sanubari.

Ini terjadi apabila kita menyintai kerana terikut-ikut dengan dunia cinta orang lain. Cinta ikut-ikutan ialah apabila kita turut bercinta semata-mata kerana kita lihat orang lain bercinta. Pendek kata kerana kita tidak mahu ketinggalan. Kita menyukai sesuatu kerana lihat orang lain suka. Kalau orang lain ada kekasih, kita pun mahu kekasih sedangkan kita belum bersedia untuk menyintai.

Kalau orang lain menggilai gajet komunikasi seperti Blackberry, kita pun turut suka walaupun kita hanya gunakan alat-alat itu untuk kegunaan asas seperti menelefon dan mengirim teks sahaja. Bila kita tidak gunakan sepenuhnya fungsi e-mel, PDA, internet, musik dan video dalam Blackberry seperti mereka, itu hanya cinta ikut-ikutan. Kalau kita katakan yang kita cinta pada alam tetapi hanya dengan menanam sebatang pokok sebagai simbolik, itu belum lagi dinamakan cinta. Cinta ikut-ikutan akan cepat pudar dan membosankan diri kerana ia hanyalah kesukaan luaran. Esok, lusa, kita akan mencari cinta yang lain.

Cinta apabila 'ada' juga bukan cinta luhur kerana ia ada kepentingan. Orang kata, ada wang sayang abang, tiada wang abang melayang. Ertinya, cinta itu hanya datang apabila ia memenuhi kehendak kita. Andainya cinta kita tidak dibalas setimpal dengan apa yang diberi, maka ia mudah diketepikan. Cinta pada pasukan bolasepak Malaysia selagi mereka menang tetapi membencinya sekiranya mereka tewas dan melukakan hati kita, itu belum cinta namanya.

Ada kalanya, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyintai, tapi sebenarnya cinta itu sudah lemau. Oleh kerana ingin menjaga prinsip dan nilai kesetiaan serta tanggungjawab, maka kita memaksa diri. Tanpa disedari juga mungkin kita berlakon suka. Kita boleh temui cinta suami dan isteri yang sudah rutin. Di meja makan restoran, si isteri ber SMS dan si suami membaca akhbar. Tanpa senyum-senyuman, tanpa lirik melirik, mereka menghabiskan makan malam dan keluar dari restoran dan melangkah beriringan sedepa jauhnya. Kononnya, mereka sudah makan malam bersama.
Memberi cinta secara ikut-ikutan, cinta tatkala ada dan cinta hingga memaksa diri adalah cinta yang tempang. Ia tidak menyeluruh. Sebaliknya, memberi cinta dan menyintai secara tulus ialah apabila kita menyukai sesuatu kerana perasaan kita sudah jatuh kepadanya. Memberi cinta bukan kerana baiknya, malah menerima keburukannya sebagai satu pakej.

Kita masih boleh terus menyintai, meskipun ia tidak akan dibalas. Umpama seorang pelukis dengan lukisannya; dia tetap akan menyintai lukisannya meskipun lukisannya tidak boleh membalas cintanya. Memberi cinta yang luhur akan terus kental dan tidak berpaling arah meskipun yang lain datang menguja. Bagai cinta ibu pada si anak, walaupun apa pun cacat celanya anak, si ibu tetap mekar dengan cintanya.

Untuk kukuh dan kekal memberi cinta luhur, kita bukan sahaja perlu menyintai sesuatu itu pada pandangan mata, tetapi menyintai, mengkaji dan memahami asal usul, kebaikan, keburukan, malah menerima dia atau ia pada hari esoknya.

Paksi cinta juga mestilah seiring cinta kita kepada ALLAH SWT. Ia bukan memberi cinta kerana ikut-ikutan atau taklid. Ia bukannya menyintai kerana memperoleh hidayah dan hilang cinta apabila menerima musibah. Bukan juga menyintai dengan melakukan ibadah kerana ia tanggungjawab semata-mata. Cinta yang hanya menggunakan akal fikiran dan tidak disertai dengan perasaan telah mengenepikan ciri utama cinta - jiwa yang halus tempat asal di mana cinta itu membenihkan bibit-bibitnya.

__________

Biodata Kolumnis

Norden Mohamed merupakan Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian terbitan Grup Media Karangkraf. Sebelum ini beliau pernah menjadi Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd. dan Pengurus Sumber Manusia Grup Media Karangkraf. Graduan UiTM dalam bidang Senireka Perusahaan ini pernah menyumbang bakti sebagai Setiausaha Kerja Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Beliau menulis di maafcakap.blogspot.com.

Popular Posts

 

© Copyright IMAN Club 2010 -2011 | Redesign by Manan Qayyim.