Muslim
sangat sinonim dengan cinta. Bukankah cinta itu lahir di syurga dan diwariskan
kepada kita oleh Nabi Adam as dan Siti Hawa?
Cinta
itu sumber kekuatan untuk memperjuangkan iman dan Islam dalam diri, keluarga
dan masyarakat bahkan ke seluruh dunia. Cinta itu kuasa kerana ia terletak di
dalam hati – raja yang paling berkuasa dalam kerajaan diri manusia.
Jika
cintakan sesuatu, seluruh tenaga dan upaya akan ditumpukan untuk mencapai
sesuatu yang dicintai itu.
Oleh
kerana itu kita perlu berhati-hati kita mencintai dan dicintai. Kita perlu
berhati-hati memilih kepada siapa yang hendak kita cintai. Pepatah Arab
menyatakan, seseorang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya. Cinta itu
juga ‘buta’. Buta pada penderitaan demi merebut reda yang dicintainya. Syukur,
jika hati kita mencintai Allah, kita akan menjadi hamba Allah dan diperhambakan
kearah iman dan Islam. Alangkah ruginya, jika di hati kita bertakhta cinta
musuh Allah, maka kita akan menjadi hamba kepadanya dan akan diperhambakan ke
arah kejahatan dan kemungkaran.
Kata sesetengah orang,
“hidupku untuk cinta.” Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, pasti cinta kepada
Allah. Firman Allah: “Adapun orang-orang yang
beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat
dzalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa
kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya
(niscaya mereka menyesal).(2:165)”
Cinta Allah itu sumber segala
kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan. Manusia yang bercinta dengan Allah
yang Maha Kaya (Al Ghani), akan mendapat kekayaaan jiwa yang tiada
tandingannya. Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah yang
Maha Perkasa (Al Qawiy). Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi
insan yang bijaksana apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha
Berilmu (Alim).
Manusia yang cinta Allah punya
kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan
diganggu gugat oleh rasa takut dan dukacita. Firman Allah:“… kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh
mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan
mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang
engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Penyabar. “ Surah Al-Ahzaab, Ayat 51
Namun cinta kepada Allah tidak
mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah saw. Jika cinta Allah itu
tujuan, maka cinta kepada Rasulullah itu adalah jalan. Tujuan tidak akan tercapai
tanpa mengikut jalan yang betul. Ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui
firmanNya: Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar)
mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni
dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)
Seorang
Arab Badwi datang bertemu Rasulullah saw lantas bertanya, “bila berlaku
Kiamat?” Rasulullah saw bertanya semula, “apa yang telah kau sediakan untuk
menghadapinya?” Orang Arab Badwi itu menjawab, “aku menyediakannya dengan hati
yang sangat cinta kepada engkau ya Rasulullah.” Rasulullah menjawab, “seseorang
akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat.” Ketika mendengar
jawapan Rasulullah itu, para sahabat Rasulullah sangat gembira. Malah ada
kalangan mereka yang merasa seolah-olah hari itu adalah hari raya. Ini kerana
mereka merasakan dengan ‘bermodalkan’ cinta… mereka boleh dikurniakan syurga!
Justeru
kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah saw melalui sirah dan sunnahnya.
Tidak cukup hanya mengetahui dengan cara belajar, tetapi kita perlu
mengenalinya dengan hatidengan cuba mempraktikan segala sunnahnya dalam reality
kehidupan. Jika Rasulullah bersamaku, bagaimanakah rasa, kata dan tindakannya
ketika berdepan dengan suasana ini? Begitulah, rasa hati yang seharusnya ada
dalam hati kita sekiranya ingin benar-benar mengenali Rasulullah saw.
Sesungguhnya,
mengetahui itu dengan akal, tetapi mengenali itu dengan hati. Mungkin telah
banyak yang kita baca dari sirah Rasulullah, tetapi sejauhmana pula apa yang
kita baca itu meresap ke ke dalam hati untuk dirasai. Dengan cuba
menteladani Rasulullah saw pada setiap masa, barulah kita diberi hidayah oleh
Allah untuk benar-benar mengenali seterusnya mencintai Rasulullah.
Setelah mencintai Allah dan
RasulNya, kepada siapa lagi perlu kita cinta? Ya, kita boleh mencintai sesiapa
dan apa sahaja dengan syarat niatnya kerana mencintai Allah. Dalam konteks ini
Rasulullah saw telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: “ya Allah berikanlah cintaMu kepada ku, jadikanlah orang
yang mencintaiMu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang
membawa kepada kecintaanmu.”
Cinta Allah itu sumber
cinta semua dan segalanya. Justeru cintakan Allah, maka Rasulullah mampu
mencintai isteri, anak-anak, cucu-cucu, menantu, sahabat-sahabat malah seluruh
umatnya. Rasulullah saw berkata kepada seorang sahabatnya, Muaz bin
Jabal: “Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau
mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa
ini: ” Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu
dan bantulah aku untk memperbaiki ibadah kepada-Mu.”
Jika Rasulullah mencintai Muaz
kerana Allah, maka kita juga mesti mencintai orang lain kerana Allah. Mencintai
seseorang kerana Allah dan RasulNya, juga dikira mencintai Allah. Namun, adalam
apa jua keadaan sekalipun kecintaan kepada makhluk tidak boleh melebihi
cinta kita kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah:”Jika
bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta
kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada
Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai
Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang fasik.(9:24)”
Cinta kepada manusia kerana
Allah adalah cinta yang suci. Cinta itulah yang menyatu dua hati dengan mantap
dan serasi. Cinta itulah yang menyatukan kaum Muhajiri dan Ansat. Firman Allah:
“Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah
beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang
yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati
mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan
mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri.
Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang
dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.
”.(59:8-10)
Sejarah
menunjukan bagaimana Rasulullah saw telah mempersaudarakan antara kaum
Muhajirin dan Ansar dengan cinta Allah. Hasilnya? Persaudaraan antara kedua
golongan ini sangat luar biasa kukuhnya. Saad bin Rabi’ Al Ansari (Ansar) telah
berkata kepada saudaranya Abdul Rahman bin Auf (muhajirin), “ Sungguh aku
adalah orang yang paling kaya di antara kaum Ansar. Aku berniat membahagi harta
ku menjadi dua bahagian, untukku dan untuk mu. Aku juga mempunyai dua orang
isteri, ambillah yang lebih kau sukai. Sebutkan namanya pada ku, nanti ku
talaknya. Jika masa idahnya telah habis, nikahilah dia.” Abdul Rahman
menjawab,” semoga Allah memberkati keluarga dan harta mu. Mana pasar kalian?
“Dia lalu menunjukkan pasar. Abdul rahman berdagang, berusaha, menikah dan
akhirnya menjadi salah seorang terkaya di Madinah. (Riwayat Muslim, Abu
Dawud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah).
Bermula detik itu kota Madinah
dipenuh oleh cahaya cinta – cinta Allah, cinta Rasullullah dan sesama
Islam. Justeru, Rasulullah saw menegaskan bahawa mukmin sejati yang layak ke
syurga ialah mereka yang mencintai saudara Islamnya. Rasulullah s.a.w
menegaskan: “Demi zat yang diri ku ditangan-Nya, kamu
tidak masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak beriman sehingga kamu
saling mencintai. Mahukah kamu ku tunjukkan sesuatu yang membuat kamu saling
mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu.” Rasulullah
saw bersabda lagi: “ Cintailah manusia seperti kamu mencintai
diri mu sendiri, maka kamu menjadi muslim.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Mengapakah
cinta Allah boleh menyatukan manusia? Ini kerana manusia yang cinta Allah mampu
melawan hawa nafsunya yang terlalu mementingkan diri. Sifat takbur, sombong,
angkuh, tamak, hasad dengki, pemarah adalah punca kepada perpecahan.
Tanpa cinta Allah tidak akan ada kasih-sayang sesama manusia.
Firman Allah:“Engkau tidak akan menemukan satu kaum pun yang beriman kepada
Allah dan Hari Kemudian menjalinkan hubungan kasih dengan orang-orang yang
menentang Allah dan Rasul, meskipun orang itu ayah mereka atau anak mereka atau
saudara mereka atau keluarga mereka.” Al-Mujadalah: 22.
Rasulullah s.a.w. telah
bersabda:“Tidak sempuma iman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudara
Islamnya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”
Inilah
kerangka asas bagaimana usaha ke arah mengujudkan sebuah ‘negara cinta’.
Apabila semua hati dipenuhi oleh cinta Allah dan setiap diri menegakkan
syariat-Nya, maka kehidupan rakyat dalam sebuah negara akan dihiasi oleh akhlak
Islamiah.
Cinta
kepada Allah dan cinta sesama manusia akan menyebabkan si kaya bersyukur, yang
miskin bersabar, suami menyayang, isteri setia, anak-anak taat, majikan adil
dan pekerja yang rajin. Bila kadar cinta dan kasih sayang meningkat dalam
sesebuah negara, insya-Allah kadar jenayah, penceraian, rasuah, gejala sosial
akan menurun dengan sendirinya. Mana mungkin itu berlaku sekiranya orang Islam
mencintai saudara Islamnya seperti mencintai dirinya sendiri?
Marilah kita membina ‘negara
cinta’ – negara di mana kita saling menabur bakti dan manfaat sesama
kita. Di negara ini kita akan membina sikap saling hormat-menghormati,
menghargai, bantu-membantu dan saling berkasih sayang. Sabda Rasulullah: “Orang mukmin itu ialah yang selamat orang lain daripada
lisan dan tindakannya.”
Biarlah
negara itu menjadi bayangan syurga yang mana setiap rakyat tidak kira Islam
atau pun bukan Islam dapat menikmati ‘rahmat untuk sekalian alam’ selaras misi
kedatangan Nabi Muhammad saw. Ya, ‘negara cinta’ seperti yang pernah tertegak
di Madinah Al Munawwarah pada zaman Rasulullah saw dan para sahabatnya.
Perjalanan
untuk menujunya bermula dengan pembinaan cinta Allah di dalam diri, kemudian
keluarga. Firman Allah:
“Selamatkan
diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.”
Ungkapan
yang terkenal: “tegakkan Islam dalam dirimu nescaya tegak Islam dalam
negaramu.” Membina cinta Allah dalam diri dan keluarga adalah satu tapak
dalam perjalanan yang panjang itu. Mariah kita melangkah, kerana Allah menilai
setiap usaha sebaik sahaja kita memulakan perjalanan… Insya-Allah, Allah akan
kurniakan kita kebahagiaan kerana sesungguhnya, kebahagiaan itu bukan hanya ada
di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan.
Jalan
menuju negara cinta dimulakan dengan membina cinta di dalam diri dan
keluarga!
Hamba
Allah yang daif,
Pahrol
Mohamad Juoi
0 comments:
Post a Comment