Anak Muda Tunjang Utama Peristiwa Hijratul Rasul
Saturday, July 21, 2012
Kedatangan tahun Hijrah 1433 pastinya disambut meriah di Malaysia. Pelbagai program telah diatur oleh pihak masjid, badan-badan kerajaan, swasta dan juga pihak kerajaan bagi meraikan hari kebesaran Islam ini.
Hakikatnya, di dalam Islam, Tahun Baru Hijrah bukan sekadar perayaan atau simbolik semata-mata bahkan mempunyai signifikan yang besar kepada ummatnya khususnya belia (anak muda).
Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia mewakili 43 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.
Hijrah telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peranan dan sumbangan golongan anak muda dalam sesuatu usaha. Apabila golongan anak muda menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar mana perancangan sekalipun akan dapat menjadi realiti.
Dari peristiwa Hijratul Rasul, dapat diambil beberapa pengajaran yang penting dan berguna buat generasi anak muda kini. Antaranya ialah sikap optimis Saidina Ali. Atas dasar kecintaan dan keyakinan kepada janji Nabi SAW, beliau sanggup menggantikan baginda di tempat tidur baginda.
Beliau tidak gentar akan risiko cubaan membunuh Baginda SAW oleh pihak Quraisy kerana beliau optimis terhadap arahan Baginda SAW.
Ketika itu, Baginda SAW berkata kepada Saidina Ali bin Abi Talib: “Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.”
Antara ikon anak muda yang menonjol dalam peristiwa Hijratul Rasul ini juga adalah Abdullah bin Abu Bakar.
Dalam tempoh 3 hari persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Gua Thur, mereka berdua dibantu oleh Abdullah bin Abu Bakar yang bertugas sebagai perisik untuk membekalkan maklumat kepada baginda mengenai perancangan orang Quraisy Mekah. Beliau akan keluar seawal waktu sahur dan akan pulang ke Gua Thur setelah larut malam.
Sesuatu yang menarik pada Hijratul Rasul, terselit juga dalam lipatan sejarah mengenai sosok wanita yang begitu berjasa kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar.
Beliau adalah Asma’ Binti Abu Bakar, anak kepada Saidina Abu Bakar. Dalam peristiwa hijrah ini, keberanian luar biasa Asma’ terserlah tatkala beliau memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahnya dan Baginda SAW di saat nyawa mereka beruda diancam oleh pihak Quraisy.
Asma’ mengembala kambing di belakangnya sepanjang perjalanan menghantar makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar dengan tujuan jejaknya akan terhapus oleh kambing yang digembalanya.
Di samping itu, sumbangan Amir bin Fuhairah juga tidak dikesampingkan. Beliau diarahkan untuk membawa kambing-kambing gembalaannya di sekitar Gua Thur untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakar dan Asma’ Binti Abu Bakar yang sentiasa berulang-alik antara Mekah-Gua Thur.
Memetik tulisan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di dalam bukunya “Hijratul Rasul: Iktibar dan Hikmah”, beliau ada menyebut, “Demikianlah kalau kita perhatikan mereka yang bersama sebilangan besar adalah remaja (anak muda). Mereka tidak membuang masa dengan perkara yang membuang masa.”
Mujasyi’ bin Mas’ud al-Sulami berkata, “Aku pernah menemui Nabi SAW untuk berbai’ah kepadanya atas Hijrah. Baginda bersabda, “Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, akan tetapi berbai’ahlah atas Islam, jihad dan kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyebut, “Hijrah yang paling mulia telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda Rasulullah, maka Rasulullah mengingatkan kepada kita agar terus melakukan ketaatan kepada agama Islam, melakukan jihad, dan seluruh amalan kebaikan, dan Baginda bermaksud : Aku menyeru kepadamu agar melakukan perkara-perkara (kebaikan) ini”
Apa yang pasti, tiada lagi hijrah selepas Hijratul Rasul. Namun, tidak mustahil untuk gerakan anak muda masa kini melakukan ‘hijrah’ dalam usaha melahirkan ikon seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Abdullah bin Abu Bakar mahupun Amir bin Fuhairah.
Hijrah membuktikan anak muda mampu menyumbang untuk agama dan pastinya untuk Negara.
Sewajarnya semua pihak perlu menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti negara banyak bergantung kepada potensi anak muda. Bersama idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang ada pada mereka, sejarah dunia juga mampu dirubah. Usah diperkecilkan suara anak muda!
Firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Baqarah: 218).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment