Tanggal 27 Rejab setiap tahun kita pasti akan mengulangi penceritaan sebuah kisah agung yang berlaku kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Pada waktu ini masjid-masjid di seluruh negara akan sibuk diisi dengan ceramah-ceramah, tazkirah-tazkirah, forum serta pelbagai jenis pengisian lain yang akan membawa kita memperingati dan mengenang semula peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa ini mendapat pelbagai respon daripada kalangan para sahabat Baginda, sehinggakan ada di kalangan mereka yang ragu-ragu untuk mempercayai perkara tersebut. Namun, bagi Saidina Abu Bakar RA, beliau tidak pernah merasa sangsi dan ragu terhadap setiap perkhabaran yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW, bahkan beliau mempercayai dan membenarkan perkara tersebut walaupun luar daripada jangkauan logik akal manusia.
Semua ini kerana beliau yakin dengan Rasulullah dan qudrat Allah SWT yang tiada bandingan. Kepercayaan dan keyakinan beliau yang cukup tinggi terhadap apa yang disampaikan oleh Nabi ini menyebabkan Nabi menganugerahkan gelaran 'al-Siddiq' kepada beliau.
Pada tahun 10 kenabian ini Baginda Nabi SAW diberi ujian berat oleh Allah SWT apabila dua tonggak utama yang paling banyak membantu urusan dakwah Baginda Nabi iaitu Saidatina Khadijah (isteri Baginda) dan Abu Talib (bapa saudara Baginda) telah diangkat bertemu Allah SWT. Peristiwa ini cukup memberi kesan kepada Baginda Nabi SAW, namun begitu dalam keadaan kehilangan orang yang tersayang ini Allah SWT sekali lagi menguji Baginda Nabi dengan peristiwa Israk dan Mikraj serta kewajipan solat lima waktu kepada ummatnya.
Tiada Istilah Rehat daripada Gerak Kerja Dakwah
Kesedihan yang dihadapi oleh Baginda Nabi ini tidak menjadikannya lemah semangat daripada terus melaksanakan kerja dakwah. Ini dapat dibuktikan apabila Baginda Nabi sanggup ditarbiah dalam peristiwa Israk & Mikraj bertemu Allah SWT. Kalaulah Nabi ini bersikap tidak mampu menerima ujian nescaya Nabi boleh memohon daripada Allah SWT daripada dikenakan dengan pelbagai tanggungjawab lain pada waktu itu.
Hakikat yang berlaku adalah sebaliknya, Nabi tidak pernah memohon daripada Allah untuk rehat, bercuti sambil menenangkan fikiran dan sebagainya bahkan Nabi SAW menerima setiap arahan dan taklifan daripada Allah SWT walaupun pada waktu itu Baginda Nabi cukup sedih.
Segala ujian dilalui dengan tenang tanpa ada sekelumit rasa gelisah dan terpaksa. Misi dakwah diteruskan dalam keadaan bagaimana sekalipun. Inilah pengajaran yang perlu kita fahami bersama hasil daripada sirah Baginda Nabi ini. Sifat sedih, tertekan dan merajuk merupakan sifat fitrah manusia, akan tetapi sifat ini perlu dikawal dengan iman dan akal fikiran yang waras agar tidak menganggu gerak kerja yang lain lebih-lebih lagi gerak kerja dakwah Islam.
Pertemuan Dengan Rakan Sefikrah Menjadi Momentum Kekuatan
Dalam perjalanan Baginda Nabi bertemu dengan Allah SWT, Baginda telah dipertemukan dengan Nabi-nabi terdahulu bahkan Baginda sempat menjadi imam ketika solat bersama dengan para nabi yang lain. Bahkan Baginda Nabi SAW sempat meminta pandangan serta nasihat daripada Nabi Musa As ketika mana Allah SWT memerintahkan kewajipan bersolat sebanyak 50 waktu sehari semalam.
Pertemuan dan perjumpaan dengan rakan-rakan serta sahabat yang sealiran fikrah amat penting untuk memastikan kita tidak akan putus semangat dalam melaksanakan gerak kerja. Dalam keadaan kita sedih ataupun tertekan dengan pelbagai ujian yang menimpa maka, kita boleh meminta nasihat daripada kawan-kawan yang lain, akan tetapi lebih baik jika nasihat, dorongan atau kata-kata semangat itu datang daripada mereka yang lebih memahami dan mengetahui hala tuju kita serta memiliki matlamat perjuangan yang sama.
Terapkan Konsep Dosa & Pahala Dalam Gerak Kerja
Sepanjang pengembaraan ataupun perjalanan, Nabi telah diperlihatkan dengan pelbagai gelagat manusia. Ada yang menerima balasan kebaikan dan tidak kurang juga yang menerima ganjaran kejahatan. Semua itu dibalas berdasarkan apa yang telah mereka lakukan di atas dunia. Jika kebaikan yang dilakukan, maka pengakhiran mereka akan diganjari dengan kebaikan. Namun, awas jika kehidupan dipenuhi dengan pelbagai maksiat dan dosa yang dilakukan maka selayaknya bagi mereka itu balasan kejahatan yang akan diterima.
Begitu juga dalam konteks berpersatuan, kita diajar agar sentiasa melihat sesuatu yang kita lakukan itu ada balasannya. sekiranya baik maka balasannya juga baik dan sekiranya jahat maka balasannya juga adalah kejahatan. Perkara ini perlu dijadikan sebagai piawaian terhadap setiap perbuatan dan tanggungjawab yang digalas.
Konsep dosa dan pahala ini akan menjadikan kita lebih berwaspada dan menilai sesuatu perkara itu lebih teliti sebelum melakukannya. Mereka yang tidak memandang konsep dosa dan pahala ini akan melihat sesuatu tugasan serta taklifan yang diberikan itu adalah perkara yang biasa lantas melakukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun, bagi mereka yang memahami konsep dosa dan pahala ini dengan baik, mereka akan melihat setiap tugasan dan taklifan yang diamanahkan itu mesti dilaksanakan dengan sehabis baik dan sesempurna mungkin sebagaimana hadis Rasululllah SAW yang bermaksud :
"sesungguhnya Allah SWT amat menyukai hambanya yang bersungguh-sungguh dalam setiap amalannya"
Kesimpulannya, berdasarkan kepada peristiwa agung Israk & Mikraj ini, bukan sahaja perlu kepada kita untuk mendengar, mengetahui dan mengingati sejarah peristiwa tersebut semata-mata. Bahkan pengajaran yang tersirat disebalik peristiwa tersebut perlu dikaji dan diteladani dalam kehidupan. Apa yang pasti setiap tindakan kita mestilah berdasarkan pedoman daripada Nabi SAW demi memastikan cahaya Islam terus bersinar di atas muka bumi.
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"
Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,
(Ketua Lajnah Perhubungan Antarabangsa & Pengerusi HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012.
0 comments:
Post a Comment