CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata
tetapi sukar dimengerti. Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan
pelbagai makna dan perasaan buat seseorang. Ada getaran di suara
apabila menyebutnya, ada gambaran indah di layar minda apabila
mengingatinya dan ada perasaan berbunga di hati tatkala menghayatinya.
Cinta boleh menjadi istilah yang paling disukai. Atau paling
dibenci, bergantung kepada saat bahagia atau deritanya seseorang dengan
cinta. Namun ia juga sering disalah anggap kerana cinta biasanya
dikaitkan dengan cinta lelaki dan perempuan yang mengasyikkan. Dalam
ertikata lain, cinta di alam remaja yang disebut sebagai
'cintan-cintun'.
Tetapi, apabila ruang lingkup cinta itu diperluaskan, kita akan
dapati cinta itu mencakupi cinta anak kepada ibubapanya, kepada isteri
atau suami, kepada sahabat, alam, kampung, negeri, negara dan yang
paling mutlak dan hak ialah cinta kepada al-Khaliq iaitu ALLAH SWT.
Dalam pada itu, oleh kerana mudahnya istilah cinta ini
disebut-sebut, ia seolah-olah sesuatu yang begitu mudah dicurahkan.
Bahkan, adakalanya ia menjadi begitu murah. Kerana apa? Kerana pada
pelbagai ketika dan keadaan, kita sebenarnya tidak menyintai apa atau
siapa yang kita cinta. Ia berlaku apabila kita tidak mengerti perasaan
kita sendiri akibat tidak menyelami sanubari.
Ini terjadi apabila kita menyintai kerana terikut-ikut dengan dunia
cinta orang lain. Cinta ikut-ikutan ialah apabila kita turut bercinta
semata-mata kerana kita lihat orang lain bercinta. Pendek kata kerana
kita tidak mahu ketinggalan. Kita menyukai sesuatu kerana lihat orang
lain suka. Kalau orang lain ada kekasih, kita pun mahu kekasih sedangkan
kita belum bersedia untuk menyintai.
Kalau orang lain menggilai gajet komunikasi seperti Blackberry, kita
pun turut suka walaupun kita hanya gunakan alat-alat itu untuk
kegunaan asas seperti menelefon dan mengirim teks sahaja. Bila kita
tidak gunakan sepenuhnya fungsi e-mel, PDA, internet, musik dan video
dalam Blackberry seperti mereka, itu hanya cinta ikut-ikutan. Kalau
kita katakan yang kita cinta pada alam tetapi hanya dengan menanam
sebatang pokok sebagai simbolik, itu belum lagi dinamakan cinta. Cinta
ikut-ikutan akan cepat pudar dan membosankan diri kerana ia hanyalah
kesukaan luaran. Esok, lusa, kita akan mencari cinta yang lain.
Cinta apabila 'ada' juga bukan cinta luhur kerana ia ada
kepentingan. Orang kata, ada wang sayang abang, tiada wang abang
melayang. Ertinya, cinta itu hanya datang apabila ia memenuhi kehendak
kita. Andainya cinta kita tidak dibalas setimpal dengan apa yang
diberi, maka ia mudah diketepikan. Cinta pada pasukan bolasepak
Malaysia selagi mereka menang tetapi membencinya sekiranya mereka tewas
dan melukakan hati kita, itu belum cinta namanya.
Ada kalanya, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyintai, tapi
sebenarnya cinta itu sudah lemau. Oleh kerana ingin menjaga prinsip dan
nilai kesetiaan serta tanggungjawab, maka kita memaksa diri. Tanpa
disedari juga mungkin kita berlakon suka. Kita boleh temui cinta suami
dan isteri yang sudah rutin. Di meja makan restoran, si isteri ber SMS
dan si suami membaca akhbar. Tanpa senyum-senyuman, tanpa lirik melirik,
mereka menghabiskan makan malam dan keluar dari restoran dan melangkah
beriringan sedepa jauhnya. Kononnya, mereka sudah makan malam bersama.
Memberi cinta secara ikut-ikutan, cinta tatkala ada dan cinta hingga
memaksa diri adalah cinta yang tempang. Ia tidak menyeluruh.
Sebaliknya, memberi cinta dan menyintai secara tulus ialah apabila kita
menyukai sesuatu kerana perasaan kita sudah jatuh kepadanya. Memberi
cinta bukan kerana baiknya, malah menerima keburukannya sebagai satu
pakej.
Kita masih boleh terus menyintai, meskipun ia tidak akan dibalas.
Umpama seorang pelukis dengan lukisannya; dia tetap akan menyintai
lukisannya meskipun lukisannya tidak boleh membalas cintanya. Memberi
cinta yang luhur akan terus kental dan tidak berpaling arah meskipun
yang lain datang menguja. Bagai cinta ibu pada si anak, walaupun apa
pun cacat celanya anak, si ibu tetap mekar dengan cintanya.
Untuk kukuh dan kekal memberi cinta luhur, kita bukan sahaja perlu
menyintai sesuatu itu pada pandangan mata, tetapi menyintai, mengkaji
dan memahami asal usul, kebaikan, keburukan, malah menerima dia atau ia
pada hari esoknya.
Paksi cinta juga mestilah seiring cinta kita kepada ALLAH SWT. Ia bukan
memberi cinta kerana ikut-ikutan atau taklid. Ia bukannya menyintai
kerana memperoleh hidayah dan hilang cinta apabila menerima musibah.
Bukan juga menyintai dengan melakukan ibadah kerana ia tanggungjawab
semata-mata. Cinta yang hanya menggunakan akal fikiran dan tidak
disertai dengan perasaan telah mengenepikan ciri utama cinta - jiwa
yang halus tempat asal di mana cinta itu membenihkan bibit-bibitnya.
__________
Biodata Kolumnis
Norden Mohamed merupakan Ketua Pengarang akhbar
Sinar Harian
terbitan Grup Media Karangkraf. Sebelum ini beliau pernah menjadi
Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd. dan Pengurus Sumber Manusia Grup Media
Karangkraf. Graduan UiTM dalam bidang Senireka Perusahaan ini pernah
menyumbang bakti sebagai Setiausaha Kerja Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS). Beliau menulis di
maafcakap.blogspot.com.