Jodoh
 seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang 
telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita 
diperintahkan-Nya agar berusaha.
Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki 
yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak 
rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik 
kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah 
pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak 
kewajiban untuk mentadbir.
“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.
“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”
“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.
“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan
 itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada 
ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.
“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya 
saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan 
kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
 “Sebelum aktif sebagai aktivis Islam 
seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama 
sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam 
seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama 
sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Habis mengapa putus?”
“Kami putus kerana dia ada jalan 
tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia
 selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 
tahun bercinta.”
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya
 tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, 
tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.
Isteri Amanah
“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana 
dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih 
kepada maksud asal pertanyaan.
“Setelah putus, abang terus pinta guru 
agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa 
diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”
“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”
“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”
“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”
“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal?
 Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan 
abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak
 secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat 
wajahnya.”
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas
 saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat 
perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat 
wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang 
juga.”
Sekali lagi dia senyum. Matanya 
bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia 
memang bercakap dari hatinya.
“Amat jauh bezanya antara membandingkan 
wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang
 telah kita nikahi…”
Pendek dia menjawabnya, namun terus 
menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang 
wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh
 Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan
 akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang 
ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada 
kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, 
siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”
Cantik Itu Relatif dan Subjektif
“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah
 atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er…
 kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita 
bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman
 kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, 
kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, 
akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”
“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”
“Semua yang datang daripada Allah ada 
kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita 
berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan 
khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak 
mendapat yang baik, bukan begitu?”
“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.
“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder,
 bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah
 ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik 
itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.
“Maksud abang?”
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
“Kecantikan seorang wanita tidak sama 
tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi 
dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada 
kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah
 lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan 
nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. 
Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis 
apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”
“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat 
betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, 
“Sedap di mata tetapi sakit di hati…”
Wasilah Memilih Jodoh
“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.
“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”
“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”
“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan 
berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar 
biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah 
pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. 
Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
“Kalau hati kita indah, kita akan 
sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak
 akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin 
akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah,
 orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang 
fatamorgana!”
‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.
“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”
“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama,
 jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang 
baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan 
memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”
Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah 
kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh
 sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun 
mereka orang yang baik-baik.”
“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”
“Itu susah bang. Bukan mudah hendak 
menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar 
menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”
Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan 
serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, 
insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan 
orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari
 orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh
 orang yang baik!”
Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”
“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.
“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”
“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap 
menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang 
wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang 
dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”
“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”
“Kita boleh melihat persoalan ini dari 
dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak 
pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang 
yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah 
berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah 
sebaliknya?”
Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.
Jodoh Urusan Allah
“Dan mungkin juga anak itu orang baik 
tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik 
sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak 
menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan
 orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”
“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan 
ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi 
urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan
 penjelasan muktamad.
“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 
‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang 
dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah 
yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh 
ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan 
Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang 
yang baik!
 “Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat 
sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang 
wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma
 sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan 
hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah 
yang bersuamikan Firaun laknatullah.”
“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat 
sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang 
wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma
 sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan 
hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah 
yang bersuamikan Firaun laknatullah.”
“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”
“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi 
mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke 
tahap yang lebih tinggi.”
“Hikmah untuk kita?”
“Jika takdirnya pahit untuk kita, 
terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang 
baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi 
jika takdirnya  pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri
 bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat 
syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi 
Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik 
tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. 
Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di 
sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah 
aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan 
makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan 
siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah 
denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang 
baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya,
 penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”
 P/S 
Nota hati: Pulang dari 
Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. 
Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran. 
Berlegar di sekitar kuliah 
Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, 
bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya. 
Mungkin sesuatu yang 
kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila 
dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua 
kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan 
abadi. 
Berfikir tentang jodoh 
anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar 
ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan 
anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu 
sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya. 
Ya, kesalahan dan kesilapan 
boleh berlaku -  ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin 
sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya 
sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu 
kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk 
‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.
 Belajarlah melakukan yang 
benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, 
cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan 
jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: 
Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!
Sumber: Ustaz Pahrol Juoi - Genta Rasa
http://genta-rasa.com/2011/02/09/bercerita-tentang-jodoh/

 

 


 
 

0 comments:
Post a Comment