News Update :

Tokoh Maal Hijrah 1433H

Tuesday, December 6, 2011


Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa dan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun ini, dipilih kerana perkhidmatan dan sumbangan besar mereka kepada dunia Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kedua-dua penerima anugerah itu, Menteri Haji Arab Saudi Dr Fouad Abdul Salam, 65 menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, 69 menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM100,000 daripada kerajaan, RM10,000 sumbangan daripada Yayasan Ubadi, pingat Tokoh Maal Hijrah, pelak, sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyampaikan anugerah itu kepada Abdul Shukur pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Anugerah kepada Dr Fouad akan disampaikan kemudian kelak.

Jamil Khir berkata Dr Fouad dipilih kerana beliau dilihat sebagai reformasi dan transformasi untuk haji di Mekah dan Madinah serta menyediakan kemudahan infrastruktur di sana seperti monorel dan laluan kereta api bawah tanah untuk memudahkan jemaah haji mengerjakan haji.

Beliau berkata usaha-usaha menteri Arab Saudi itu wajar diiktiraf.


Abdul Shukor pula dipilih kerana perkhidmatan lama dan sumbangan yang banyak kepada negara sehingga sekarang, kata Jamil Khir.

Sementara itu Abdul Shukor ketika ditemui pemberita berkata anugerah tokoh itu yang diterima beliau, akan dijadikan sebagai perangsang bagi dirinya untuk terus berkhidmat dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Saya tidak menyangka dipilih untuk menerima anugerah ini dan ia akan dijadikan sebagai perangsang untuk saya terus berkhidmat kepada dunia Islam dan masyarakat," katanya.

Beliau yang lahirkan pada 1942 di Jerantut, Pahang, memperoleh Ijazah Ph.D dalam bidang Akidah dan Falsafah Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1984.

Abdul Shukor pernah menjadi Ketua Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1980 hingga 1981.

- Bernama
Share this Article on :

0 comments:

Post a Comment

 

© Copyright IMAN Club 2010 -2011 | Redesign by Manan Qayyim.