CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata 
tetapi sukar dimengerti.  Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan 
pelbagai makna dan perasaan  buat seseorang. Ada getaran di suara 
apabila menyebutnya, ada gambaran  indah di layar minda apabila 
mengingatinya dan ada perasaan berbunga di  hati tatkala menghayatinya.
Cinta  boleh menjadi istilah yang paling disukai. Atau paling 
dibenci,  bergantung kepada saat bahagia atau deritanya seseorang dengan
 cinta.  Namun ia juga sering disalah anggap kerana cinta biasanya 
dikaitkan  dengan cinta lelaki dan perempuan yang mengasyikkan. Dalam 
ertikata  lain, cinta di alam remaja yang disebut sebagai 
'cintan-cintun'.
Tetapi,  apabila ruang lingkup cinta itu diperluaskan, kita akan 
dapati cinta itu  mencakupi cinta anak kepada ibubapanya, kepada isteri 
atau suami,  kepada sahabat, alam, kampung, negeri, negara dan yang 
paling mutlak dan  hak ialah cinta kepada al-Khaliq iaitu ALLAH SWT.
Dalam  pada itu, oleh kerana mudahnya istilah cinta ini 
disebut-sebut, ia  seolah-olah sesuatu yang begitu mudah dicurahkan. 
Bahkan, adakalanya ia  menjadi begitu murah. Kerana apa? Kerana pada 
pelbagai ketika dan  keadaan, kita sebenarnya tidak menyintai apa atau 
siapa yang kita cinta.  Ia berlaku apabila kita tidak mengerti perasaan 
kita sendiri akibat  tidak menyelami sanubari.
Ini  terjadi apabila kita menyintai kerana terikut-ikut dengan dunia 
cinta  orang lain. Cinta ikut-ikutan ialah apabila kita turut bercinta  
semata-mata kerana kita lihat orang lain bercinta. Pendek kata kerana  
kita tidak mahu ketinggalan. Kita menyukai sesuatu kerana lihat orang  
lain suka. Kalau orang lain ada kekasih, kita pun mahu kekasih sedangkan
  kita belum bersedia untuk menyintai.
Kalau  orang lain menggilai gajet komunikasi seperti Blackberry, kita
 pun  turut suka walaupun kita hanya gunakan alat-alat itu untuk 
kegunaan asas  seperti menelefon dan mengirim teks sahaja. Bila kita 
tidak gunakan  sepenuhnya fungsi e-mel, PDA, internet, musik dan video 
dalam Blackberry  seperti mereka, itu hanya cinta ikut-ikutan. Kalau 
kita katakan yang  kita cinta pada alam tetapi hanya dengan menanam 
sebatang pokok sebagai  simbolik, itu belum lagi dinamakan cinta. Cinta 
ikut-ikutan akan cepat  pudar dan membosankan diri kerana ia hanyalah 
kesukaan luaran. Esok,  lusa, kita akan mencari cinta yang lain.
Cinta  apabila 'ada' juga bukan cinta luhur kerana ia ada 
kepentingan. Orang  kata, ada wang sayang abang, tiada wang abang 
melayang. Ertinya, cinta  itu hanya datang apabila ia memenuhi kehendak 
kita. Andainya cinta kita  tidak dibalas setimpal dengan apa yang 
diberi, maka ia mudah  diketepikan. Cinta pada pasukan bolasepak 
Malaysia selagi mereka menang  tetapi membencinya sekiranya mereka tewas
 dan melukakan hati kita, itu  belum cinta namanya.
Ada  kalanya, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyintai, tapi 
 sebenarnya cinta itu sudah lemau. Oleh kerana ingin menjaga prinsip dan
  nilai kesetiaan serta tanggungjawab, maka kita memaksa diri. Tanpa  
disedari juga mungkin kita berlakon suka. Kita boleh temui cinta suami  
dan isteri yang sudah rutin. Di meja makan restoran, si isteri ber SMS  
dan si suami membaca akhbar. Tanpa senyum-senyuman, tanpa lirik melirik,
  mereka menghabiskan makan malam dan keluar dari restoran dan melangkah
  beriringan sedepa jauhnya. Kononnya, mereka sudah makan malam bersama.
Memberi  cinta secara ikut-ikutan, cinta tatkala ada dan cinta hingga
 memaksa  diri adalah cinta yang tempang. Ia tidak menyeluruh. 
Sebaliknya, memberi  cinta dan menyintai secara tulus ialah apabila kita
 menyukai sesuatu  kerana perasaan kita sudah jatuh kepadanya. Memberi 
cinta bukan kerana  baiknya, malah menerima keburukannya sebagai satu 
pakej.
Kita  masih boleh terus menyintai, meskipun ia tidak akan dibalas. 
Umpama  seorang pelukis dengan lukisannya; dia tetap akan menyintai 
lukisannya  meskipun lukisannya tidak boleh membalas cintanya. Memberi 
cinta yang  luhur akan terus kental dan tidak berpaling arah meskipun 
yang lain  datang menguja. Bagai cinta ibu pada si anak, walaupun apa 
pun cacat  celanya anak, si ibu tetap mekar dengan cintanya.
Untuk  kukuh dan kekal memberi cinta luhur, kita bukan sahaja perlu 
menyintai  sesuatu itu pada pandangan mata, tetapi menyintai, mengkaji 
dan memahami  asal usul, kebaikan, keburukan, malah menerima dia atau ia
 pada hari  esoknya.
Paksi  cinta juga mestilah seiring cinta kita kepada ALLAH SWT. Ia bukan
  memberi cinta kerana ikut-ikutan atau taklid. Ia bukannya menyintai  
kerana memperoleh hidayah dan hilang cinta apabila menerima musibah.  
Bukan juga menyintai dengan melakukan ibadah kerana ia tanggungjawab  
semata-mata. Cinta yang hanya menggunakan akal fikiran dan tidak  
disertai dengan perasaan telah mengenepikan ciri utama cinta - jiwa  
yang halus tempat asal di mana cinta itu membenihkan bibit-bibitnya.
 __________

 

 


 
 

0 comments:
Post a Comment