Satu ketika dahulu tokoh terkenal dari Perancis, Napoleon Bonaparte  pernah berkata; “read, you will conquer the world.” Kata-kata ini  terpacul keluar dari mulut seorang individu yang hidup pada era  imperialisme dan peperangan di seluruh dunia. Beliau melihat bahawa  kunci untuk menguasai dunia ialah melalui budaya membaca. 14 abad  sebelum itu, nabi besar kita Muhammad saw telah menerima arahan ‘iqra’  sebagai wahyu yang pertama daripada Allah swt. Arahan ini cukup besar  signifikannya buat manusia yang mahu meningkatkan potensi diri sebagai  seorang muslim yang luar biasa hebat.
Apabila kita menelusuri sejarah, kita pasti akan menemui kisah para  ilmuan terdahulu yang menjadikan amalan membaca dan mengkaji sebagai si  jantung hati. Sebagai contoh,Imam Syafie yang terkenal sebagai individu  yang rajin membaca sehinggakan kitab al Muwatto’ karangan Imam Malik  dihafalnya dari kulit ke kulit. Bahkan tercatat kisah salah seorang  ilmuan Islam pada satu zaman yang meninggal dunia di dalam perpustakaan  dek kerana dihempap buku-buku yang terjatuh dari rak di hadapannya. Bagi  mereka, waktu merehatkan minda ialah dengan membuka kitab-kitab dari  pelbagai segmen bidang ilmu sama ada berbentuk fardhu ain ataupun fardhu  kifayah.
Para sejarahwan sama ada yang beragama Islam ataupun bukan Islam  bersepakat bahawa zaman pemerintahan Khilafah Abbasiyyah merupakan  antara tamadun yang meletakkan Islam di tempat yang selayaknya. Setelah  diteliti, didapati bahawa sebab primer lahirnya zaman tersebut ialah  budaya ilmu yang sungguh luar biasa dipraktikkan. Gerakan penterjemahan  yang begitu hebat dalam pelbagai bidang ilmu ke dalam bahasa Arab  berlaku dan disokong oleh pemerintah pada zaman itu. Ilmu-ilmu itu juga  telah diIslamkan dengan berteraskan prinsip akidah Islamiyyah. Dalam  masa yang sama, Barat pada waktu itu masih lagi berada pada zaman gelap.
Mahasiswa dan Budaya Membaca
Dalam agenda menegakkan kembali tamadun Islam yang bersifat rahmatan lil  alamin, maka golongan yang melibatkan diri dalam keilmuan sewajarnya  menggiatkan amalan membaca dan mengkaji sebagaimana dipraktikkan oleh  individu-individu hebat seluruh dunia. Mahasiswa juga termasuk dalam  kalangan arkitek yang bertanggungjawab dalam agenda murni ini.
Menurut Datuk Noh Omar, berdasarkan satu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh para pelajar selama tiga tahun pengajian ialah: 
- Australia ialah 180 buah 
- Indonesia (94 buah)
- India (130 buah)
- Thailand (56 buah)
- Brunei (26 buah) 
- Malaysia 12 buah buku
Manakala jumlah buku yang dibeli oleh pelajar untuk tiga tahun pengajian (enam semester) ialah sebagaimana berikut;
- Australia ialah 160 buah 
- Indonesia (43 buah)
- Thailand (31 buah)
- India (75 buah)
- Brunei (15 buah)
- Malaysia 4 buah 
Nah, kita boleh melihat betapa kita sedang ketinggalan jauh di belakang  para pelajar dari negara lain. Keadaan ini berlawanan sekali dengan  slogan-slogan yang sering dilaungkan. Lebih mengecewakan apabila  majalah-majalah yang mengetengahkan subjek-subjek picisan seperti  hiburan dan tahyul menjadi pilihan utama segelintir pelajar. Hal ini  jauh bertentangan dengan konsep intelektualisme yang sepatutnya terpahat  di minda para pelajar.
Menurut Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pensyarah Usuludin dan Perbandingan  Agama di UIAM yang juga merupakan anak didik Prof Syed Naqib al-Attas,  soal disiplin pembacaan buku mesti tinggi jika benar mahasiswa mahu  mendaulatkan tradisi "aktivis intelek" dalam rentak tari politiking  mereka. Katanya lagi, 30 minit dalam satu hari sebelum tidur sudah  memadai.
Persoalannya, apakah status kita pada ketika ini? Amat berlawanan dengan  misi besar kita sekiranya budaya membaca ini masih lemah dipraktikkan  lebih-lebih lagi buat huffaz yang bercita-cita menyahut cabaran sebagai  ‘generasi al Quran yang unik’ sebagaimana dinyatakan oleh almarhum Syed  Qutb rahimahullah.
Intelektualisme memacu gelombang perubahan
Abad ke 20 menyaksikan pelbagai revolusi sosial yang unik. Antara  keunikan tersebut ialah penglibatan kumpulan anak-anak muda yang  berstatus mahasiswa untuk melakukan perubahan. Fenomena ini bersifat  global apabila beberapa tempat yang berbeza iklim dan budaya menjadi  saksi kesungguhan mereka untuk bergerak maju menuntut keadilan  bersama-sama pejuang-pejuang yang lain.
Antara contoh perjuangan masyarakat yang ditunjangi mahasiswa ialah  gerakan Mei 1968 di Perancis, revolusi islam Iran 1979 dan gerakan  reformasi yang telah menjatuhkan Suharto pada 1998. Ternyata keberanian  mereka menzahirkan naluri cintakan perubahan membawa hasil lumayan  terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.
 Justeru, bersiap siagalah dengan pelbagai persiapan terutamanya  persiapan ilmu kerana orang-orang terdahulu sudah hampir tamat lariannya  dan kitalah yang akan menerima ‘baton’ demi meneruskan satu misi suci.  InsyaAllah dengan izin-Nya satu hari nanti golongan intelek yang terisi  al Quran di dalam dadanya akan mewarisi bumi yang hampir kiamat ini.  Ayuh, kita isytiharkan kepada mereka di luar sana, nantikan kemunculan  kami!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

 

 


 
 

0 comments:
Post a Comment