PEMIMPIN satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan sebab amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya  hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan tepuk sorak. Siapalah  tidak ghairah pasang angan-angan menjadi pemimpin, hingga ada yang  berkata: "Asyik dia orang saja dapat, bila lagi giliran aku pula."
  
Islam  sejak beratus tahun lampau mencipta rekod kepemimpinan di pelbagai  benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra syarat agar pemimpin  betul-betul 'menjadi' dan orang yang dipimpin menerima nikmat  kepemimpinan, bukan hanya terpimpin selamat di dunia malah juga di  akhirat nanti.
Syarat  pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman  itu ada tiga implikasi, iaitu 'imun', 'aman' dan 'amin.'
Imun  maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman  maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia  baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala  'amin' pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah  dipercayai barulah layak menerima amanah .
Syarat  kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan  atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.
Makna  kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi  pengikut mencapai matlamat yang digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak  terajang dan kerenah kepemimpinan, nanti kita pula yang dipimpin.
Syarat ketiga ialah 'selfleadership.' Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?
Perkataan  'leader' merujuk kepada tanggungjawab (al-mas'uliyah). Sabda Rasulullah  s.a.w bermaksud: "Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan  diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin."
Syarat  ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab  terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan  tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan  khabar yang tidak pasti.
Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.
Syarat  keempat ialah pemimpin memerlukan 'The Power Of Communication.' Ketika  berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan  dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat  tidak tertunai, bukannya putar belit.
Cara berkomunikasi ada empat:
1) Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.
2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah  atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara  mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.
3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan  mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang  yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam  tidak masuk di hati.
4)  The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak  semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita  banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak  melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan  pemerhatian.
Rasanya  elok juga disinggung sedikit perkara yang menambah komitmen moral  seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-Muddassir.
i-  Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang  tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran,  dengan kuasanya dia akan meluruskannya.
ii-Mesti membasarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.
iii- Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.
iv- Tinggalkan dosa.
v- Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah  kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.
sumber:smzblog.wordpress.com

 

 


 
 

0 comments:
Post a Comment